Friday, 29 January 2016

Kerana Cinta Memaksa...Episod 1

Ku pinjam bait-bait kata dari Aisyah, penyanyi nombor satu Malaysia satu ketika dulu…

Janji Manismu…

Jalanan hidup ini
Sudah tertulis
Ku tempuhi dengan kesabaran
Ku sedar kebesaranMu Tuhan 

Bab 1


PAGI ini aku bangun awal daripada kebiasaan.

Padahal sebelum ini selalu saja aku bangun terlewat. Memang rutin aku untuk ke tempat kerja yang jaraknya hanya 2km dari rumah pada jam 7:30 pagi dan kebiasaannya aku akan bangun jam 6:30 pagi. Tapi hari ini aku terbangun seawal jam 5:30 pagi kerana baru teringat belum usai mengerjakan solat isyak malam tadi. Entahkan mengapa, hatiku berasa gementar hari ini.

Aku terus whatsapp suamiku, Khalil sekadar memberitahunya yang aku berasa tidak sedap hati hari ini. Lama juga menunggu Khalil untuk membalas whatsappku. Anakku Zara, memang sedang tidur lagi dan tak sanggup rasa hati nak kejutkan dia, maklumlah di waktu usianya baru menginjak 2 tahun ini, macam-macam ragamnya. Tapi, inilah buah hati pengarang jantung aku dan Khalil.

“Bibik…nanti jangan lupa mandikan Zara okey. Saya nak pergi awal hari ni. Senang sikit nak parking motor.” Aku memberikan arahan pada orang gajiku, warga Indonesia.
“Ya puan…bibik faham.” Balasnya ringkas. Mungkin dia boring dengan peringatan aku setiap kali aku keluar bekerja.

“Awal hari ni puan…” Amir menegurku kerana dilihatnya aku sedang asyik mengadap handphone blackberryku.
“Puan oh puan apa yang ditengok tu?...” Amir menambah sambil mengetuk pintu bilik pejabatku.

“Eh…Amir, sorry saya tak perasan. Ada apa Amir?.” Aku menjawab ringkas seraya membuat muka acuh tak acuh.
“Selalunya puan datang on-time je. Hehe…jangan marah, nanti cepat tua.” Amir menambah kerana tidak puas hati dengan reaksi jawapan aku.
 “Takde apa lah Amir…saya terbangun awal, boring la nak duduk rumah, baik saya gerak awal ke pejabat, tak salah kan?.” Aku menjawab sambil kembali melihat telefon bimbitku.
“Eh, takdelah saya kata tak boleh. Saja je nak usik puan sebab saya tengok puan macam moody je, kenapa?.” Amir tetap dengan soalannya. Aku bingkas bangun dari kerusi dan terus ke arahnya sambil memberi signal tangan dan muka, tiada apa-apa. Malas rasanya nak bercakap banyak sementalah aku memang tengah agak moody kerana masih tidak mendapat balasan whatsapp dari Khalil.

“Puan…tuan pengarah panggil.” Cik Harlina memberi message ringkas kepadaku. Tanpa berlengah, aku segera bingkas bangun menuju ke bilik pengarah aku, Encik Hanafiah. Pengarah aku sangat baik dan naïf juga sangat baik dengan pekerja bawahannya. Cuma, pada aku dia terlalu terbuka dalam semua hal, samada yang berkaitan kewangan mahupun kebajikan. Tempat aku bekerja ini memang terdedah dengan sumber kewangan kerana melibatkan urusan kelulusan dan permohonan sebut harga dan tender kerajaan.

“Kathy, saya rasa awak kena tolong saya hari ni…” Encik Hanafiah berkata sambil memberikan isyarat untuk aku duduk.
“Tolong apa tuan?.” Aku menjawab ringkas sambil berkerut.
“Awak tahu kan…kita nak buat family day minggu depan. Kita mana ada duit yang cukup untuk tampung duit minyak staff kita ke sana.” Encik Hanafiah memulakan bicara.
“Tapi tuan…kita still boleh tukar tempat. Ada je tempat yang menarik di Kuala Lumpur ni, macam Desa Water Park?.” Aku cuba memberi pendapat.
“Tak boleh la Kathy…Dato’ Shamsul dah setuju kita buat di Sungkai, Perak. Saya tak berani nak membantah...” Encik Hanafiah menambah sambil mendengus. Kedengaran beliau juga seperti kurang bersetuju.
“Tapi tuan…budget kita sikit. Kalau untuk bayar taman tema tak jadi masalah. Tapi, nak bayar sekali duit minyak pengunaan kenderaan sendiri staff, mana kita cukup.” Aku cuba lagi memberi pendapat walaupun aku tahu, Encik Hanafiah akan menolaknya.
“Macam nilah Kathy…Dato’ Shamsul dah prepared some sponsored from outside. So, saya nak awak jumpa contractor ni tengahari ni, jam 1:30. Dato’ Shamsul dah uruskan semua sekali. Contractor ni nak bagi RM10,000 untuk tujuan sponsored.” Encik Hanafiah berkata panjang sambil mukanya kelihatan kurang selesa dengan jawapan aku sebentar tadi.

“Kenapa contractor tu tak datang pejabat tuan?. Lagipun, saya tak kenal contractor tu tuan.” Aku cuba berdalih. Kenapa mesti aku yang kena ambil duit sponsored tu?. Aku keliru dan terdiam seketika.
“Ni ambil no phone ni… Nama dia Musa, mungkin awak pernah kenal dia. Ada juga dia datang sekali sekala di pejabat ni nak dapatkan project.” Encik Hanafiah menghulurkan kertas tertera nombor telefon lelaki yang dimaksudkan.
“Eh…kalau tak silap saya kenal dia ni. Gatal mamat ni tuan. Ada sekali ajak saya dating, tak malu agaknya, saya sudahlah isteri orang.” Aku menjawab dengan nada marah bercampur geram. Memang aku teringat satu waktu dulu, Musa pernah mengajak aku keluar untuk makan malam. Aku menolak dengan sekeras-kerasnya kerana pada aku dia adalah seorang contractor di pejabat aku yang sering berurusan dengan mana-mana projek yang melibatkan urusan kelulusan. Mana mungkin aku boleh keluar sewenang-wenangnya dengan mana-mana contractor, nanti dituduhnya aku ambil rasuah.

“Jom la puan Kathy…saya nak belanja makan malam kat restoren Thai di Wangsa Maju. Jangan risau, takde orang nak tahu kecuali kalau ada orang yang buat report.” Musa cuba menggoda aku.
“Suka hati awak je kan, awak ingat saya siapa?. Saya belum pernah keluar dengan mana-mana contractor tau, walaupun saya dah kerja 6 tahun kat sini. Jaga sikit sikap awak tu Encik Musa. Cubalah buat kerja secara professional sikit, tak perlu ajak pegawai macam saya ni keluar makan…Kalau ada rezeki awak kat Kementerian kami…ada la, jangan risau. Rezeki ni Allah yang beri bukan saya.” Panjang juga bebelan aku pada Musa.
 “Sombong betul la puan ni.” Musa menjawab lantas terus berlalu. Mungkin dia malu dengan jawapan aku sebentar tadi.

“Kathy, saya cakap dengan awak ni. Sekarang dah jam 12:30, sekejap lagi saya nak pergi solat jumaat. Sebab tu saya mintak awak yang pergi jumpa Encik Musa ni. Dia nak bagi cash.” En Hanafiah berkata seraya bingkas bangun untuk keluar dari pejabat menunaikan solat jumaat.
 “Okla tuan…nanti saya ke sana.” Aku menjawab ringkas.
“Kat restoren Muhibbah tau.” Tambah Encik Hanafiah. Aku hanya memberi isyarat mengangguk tanda setuju.

“Shu...jadi ke kita lunch tengari ni?.” Aku berkata memujuk sahabatku untuk tidak membatalkan janji kami untuk keluar makan tengahri bersama hari ini.

“Jadi la Kathy…kan kita dah janji. Naik kereta aku la. Aku tunggu kat parking jam 1:15 ni, ok?.” Shuhada membalas ringkas kerana katanya banyak kerja yang perlu di siapkan sebelum kami keluar makan tengahari. Pejabat Shuhada dan aku tidaklah jauh, hanya berhadapan sahaja. Jadi, mudah untuk kami berjumpa sambil keluar makan bersama samada waktu tengahari mahupun selepas waktu kerja.


****


“Eh, boleh tak kau stop aku sekejap kat restoren Muhibbah tepi Maybank tu. Pengarah aku suruh amik duit dari mamat ni la.” Aku berkata seraya menunjukkan nama dan nombor telefon yang tertera di atas kertas putih.
“Ok je…ada apa ni?. Pengarah kau suruh amik duit kat contractor ke?.” Shu membalas tanda setuju, berkerut juga dahinya.
“Itulah…pengarah aku cakap, Dato’ Shamsul yang suruh ambil. Duit sponsored untuk family day kitaorang.” Aku menjawab ringkas tapi cukup untuk membuatkan sahabatku, Shuhada memahami.

“Hai puan Khatijah?. Sorang je ke?. Mana tuan pengarah?.” Musa memulakan bicara. Aku mendengus tanda tidak berapa puas hati.
“Tak…my pengarah solat jumaat. You tak solat jumaat ke?.” Aku membalas sambil melihat menu di atas meja. Geli rasanya nak menatap muka lelaki yang pada hemahku sangat hipokrit.
“Saya uzur puan…” Musa menjawab sambil tergelak besar.
“Mana uzurnya?. Lelaki takde excuse tau. Ni…dosa you pun saya tanggung jugak sebab bersubahat.” Aku menjawab tanda memperlinya.
“Sudahlah…kawan I tunggu kat kereta. Mana duit yang pengarah bagitau tu?.” Aku menambah kerana tidak mahu lama berborak dengannya.
“Taknak minum dulu ke puan?. Ni kan tengah lunch hour?. Rileks la puan…jom la ajak kawan puan tu sekali…saya belanja minum…nak makan sekali pun saya tak kisah.” Musa menawarkan diri. Aku hanya mencebik dengan ajakkannya itu.
“Takpelah…we all nak makan kat tempat lain. Cepatlah…” Aku cuba mematikan perbualan kerana bosan dengan kata-katanya.

“Ok, ni duitnya, RM10,000…” Musa mengeluarkan sarung warna putih berisi wang kertas bernilai RM10,000 lantas menghulurkan pada aku.
“Ok…terima kasih. Jumpa lagi.” Aku dengan pantas bangun dan…..

****

“Kami dari SPRM, sila beri kerjasama.” Dua orang wanita seorang bertudung dan seorang berketurunan china cuba menahan aku yang terkebil-kebil pada ketika itu.
“Eh…apa ni?. Saya bukan ambil duit ni untuk kepentingan saya.” Aku bingung dan lantas terduduk di kerusi restoren Muhibbah.
“Puan dah ambil duit ni. Kami ada saksi dan puan tak boleh berdalih lagi. Sila beri kerjasama kalau puan nak kerja jadi senang.” Seorang pegawai SPRM cuba menenangkan aku yang tercengang pada ketika itu. Aku jadi tidak tentu arah.

“Apa salah saya?. Tolonglah tuan…puan…saya dianiaya.” Aku berkata dalam nada sebak. Tetapi, mereka tidak mempedulikan aku. Meraka terus menulis di helaian kertas yang aku sendiri tidak mengerti. Duit wang kertas bernilai RM10, 000 dengan nilai gandaan RM50 ditulis satu persatu nombor sirinya. Aku hanya ikutkan sahaja kerana aku tidak mengerti dengan situasi yang berlaku. Aku disuruh untuk menandatangani setiap helaian kertas dan ada juga kertas yang aku nampak nama pengadu ‘Musa bin Hamdan’. Ya…itu nama lelaki yang baru saja berborak dan bercakap dengan aku sebentar tadi. Dalam Keadaan terdesak ini, memang aku tak nampak langsung kelibat Musa. Mungkin dia terus berlalu setelah aku ditangkap.

“Ok puan…sila ikut kami ke pejabat puan.” Salah seorang pegawai SPRM menyapa aku yang sedang kebingungan.

“Jangan guna handphone. Sila beri kerjasama.” Salah seorang pegawai wanita cuba memberi aku amaran. Nada suaranya agak tinggi. Sebenarnya, aku cuba untuk menelefon suamiku yang dari pagi tadi tidak ada khabar berita. Tanpa banyak bicara, telefon bimbitku aku di ambil dan aku terketar-ketar dalam kegelisahan.

****

“Tuan pengarah…saya ingin mendapatkan butiran lengkap puan Khatijah binti Ismail. Saya mohon pihak tuan untuk memberi kerjasama. Sila beri maklumat berkenaan tender berkepala seperti berikut, C110/KDN/0900 sehingga 0930. Terima kasih tuan.” Seorang pegawai SPRM memberi arahan dan isyarat kepada pengarah dan staff di pejabatku.

“Tuan…apa yang tuan dah buat pada saya?.” Aku sempat berjumpa Encik Hanafiah dan merayu kepadanya. “Kathy…saya pun tak tahu…saya harap awak boleh bertahan, saya akan bantu mana yang termampu...” Encik Hanafiah berbisik kepadaku.

“Kami terpaksa menahan puan Khatijah binti Ismail kerana disyaki menerima rasuah bernilai RM10,000. Kami akan membawa beliau ke pejabat kami di D3, Putrajaya.” Pegawai SPRM yang menggelarkan dirinya sebagai Karim memberikan kata-kata terakhir selepas semua nota dan bahan bukti berkaitan diperolehi.
“Saya mohon untuk pulang ke rumah sebentar, nak tukar baju dan tengok anak saya. Saya merayu pada tuan.” Aku cuba merayu untuk melihat anakku sebentar. Aku cuba jadi kuat kerana aku tahu, aku tidak bersalah dalam hal ini.
“Ok, kami akan bawa puan ke rumah puan. Tapi, kami hanya beri 15 minit untuk puan tukar baju. Selepas itu, kami akan bawa puan ke Putrajaya.” Karim membalas ringkas. Aku hanya mengangguk tanda setuju.

“Bibik…jaga Zara baik-baik ya. Saya ada hal nak uruskan.” Aku memberi arahan ringkas pada pembantu rumahku yang kelihatan tidak faham dengan apa yang berlaku. Dua orang pegawai wanita SPRM menemani aku untuk masuk ke dalam rumah. Aku sempat mencium pipi dan dahi anakku, Zara yang sedang nyenyak tidur.
“Apa lagi tu?...Cepat sikit boleh tak?. Kami beri awak 15 minit je…bukan 15 jam.” Kedengaran suara salah seorang pegawai wanita berkata dengan nada yang agak tinggi. Aku mendengus dan terus berlalu meninggalkan rumah. Aku dibawa ke Putrajaya dengan kenderaan persendirian SPRM. Aku terdiam kaku, membisu dengan seribu pengertian. Ya Allah, mengapakah dugaan berat ini menimpa aku?. Pelbagai perkara bermain difikiran dan benakku saat ini. Aku terbayangkan suami, keluarga, adik-beradik, kawan-kawan dan semua jiran-jiran. Apa mereka semua akan kata? Mereka tidak tahu, sudah tentu mereka menuduh aku yang melakukannya. Sedangkan aku sendiri tidak tahu apa-apa disebalik semua ini. Tidak ada setitis pun airmata yang mengalir. Aku pasrah dengan dugaanMu ya Allah. Lama juga aku mengelamun, hampir 45 minit sementalah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Putrajaya memakan masa yang agak panjang.

“Betul ke awak tak ambil duit tu?.” Soal seorang pegawai SPRM.
“Betul tuan…saya pinjam dari dia.” Aku menjawab dalam keterpaksaan. Aku ingat janji Encik Hanafiah supaya merahsiakan perkara sebenar.
“Awak takde tempat lain nak pinjam ke?.” Pegawai itu menambah.
“Takde tuan…Saya kenal dengan Musa sebab itu saya pinjam dari dia.” Aku menjawab ringkas sambil menundukkan kepala.
“Baik awak mengaku yang awak nak minta duit dengan dia sebagai hadiah untuk awak sebab beri dia project.” Soalan pegawai SPRM itu seoalah-olah memaksa.
“Tidak tuan…Kuasa kelulusan bukan dari saya. Pihak atasan yang meluluskan sesuatu project, bukan saya...” Aku cuba memberikan penerangan.
“Tapi awak salah seorang dari pegawai yang sign untuk kelulusan sebut harga kan?.” Soalan perangkap untuk aku.
“Macam ni lah puan Khatijah…” Belum sempat pegawai SPRM itu meneruskan perbualan, dia disapa oleh salah seorang kawannya.
“Tuan, ada call dari suami si tuduh.” Kawannya berbisik.
“Ye…En Khalil…isteri awak kami dah bawa ke Putrajaya untuk tujuan soal siasat. Tapi, selepas jam 11:30 malam ni…kami akan hantar dia ke lokap Bukit Jalil. Tempat kami ni tiada tempat khusus untuk pesalah wanita.” Pegawai itu bercakap di dalam telefon sambil matanya menjeling ke arahku. Aku terdiam kaku, diam membisu seribu bahasa.
“Suami awak setuju. Esok dia akan datang ke lokap Bukit Jalil. Awak jangan risau.” Pegawai itu menambah. Aku hanya mengangguk tanda setuju.

Malam itu aku dibawa ke lokap Bukit Jalil. Itulah pertama kali dalam hidupku bermalam di lokap dan berbagai bayangan akan kesuraman hidup di dalam bilik jeriji besi ini bermain difikiranku. Dunia yang selama ini sempurna bagiku terus menjadi malap dan aku tiba-tiba teraba dalam kegelapan yang tidak pernah aku terfikir akan berlaku. Aku dikenakan pakian lokap polis dan aku juga diarahkan untuk membuka semua pakaian dalamku, hanya seluar dalam dibenarkan pakai sementalah aku sedang dalam haid. Perjalanan ini hanya satu persinggahan yang akhirannya adalah destinasi sebenar yang akan kita tuju. Aku pasarah pada persinggahan ini yang dapat aku rasakan adalah satu dugaan dan ujian yang sangat luar biasa. Aku pasrah dan berserah pada waktu ini.


****


“Lu kes apa ni?.” Tiba-tiba aku disoal oleh salah seorang penghuni lokap.
“Takde apalah…” Aku menjawab ringkas. Aku cuba mengelak untuk menjawab setiap persoalan yang boleh menimbulkan seribu satu persoalan.
“Ekeleh…berlagaknya dia ni?. Kau tau tak aku paling senior dalam lokap ni…dah dua bulan aku kat sini tau.” Dia menambah sambil berjalan menghampiri aku yang sedang mengelamun di birai lokap.
“Apa ni…Saya tak kacau akak pun. Tolonglah jangan kacau saya. Saya kena fitnah ambil rasuah.” Aku menjawab sambil memandangnya. Sebenarnya aku sedih dan kalau boleh semahunya aku menangis malam ini. Tapi, aku pujuk hati ini supaya terus tabah dan cekal dengan ujian yang satu ini.
“Ala…rileks la…aku lagi sempoi…kes heroin tak habis-habis. Ni dah 3 kali aku kena cekup.” Dia menambah sambil tangannya menyapa di belakangku. Lagaknya seperti bersimpati tapi aku berasa agak lain dengan kelakuannya.

Malam itu aku buat pertama kalinya aku tidur di atas tilam lantai kayu beralaskan lengan, tidur dalam keadaan yang amat perit untuk digambarkan. Terbayang di benak fikiranku, apa yang akan terjadi ke atas diriku selepas ini. Apakah suamiku akan terus menyintaiku?, bagaimana dengan anakku, Zara?. Kalau aku disabit kesalahan, aku akan di penjarakan. Ya Allah, lindungi hambaMu yang sedang dalam kesusahan dan kesulitan ini.

****

“Khatijah bte Ismail, sila ikut saya...” Nama aku dipanggil oleh salah seorang polis, petugas lokap. Rata-rata penghuni lokap menggelarkan polis di sini dengan panggilan ‘cikgu’. Aku tidak mengerti tetapi, menurut salah seorang penghuni di sini memberitahu, ‘cikgu’ adalah panggilan bagi polis yang menjaga penghuni lokap mahupun penjara.

So, awak nak mengaku atau macam mana?.” Soal pegawai SPRM sambil tangannya memegang sebuah buku nota kecil.
“Saya tak bersalah tuan…macam mana saya nak mengaku. Perlu ke saya mengaku sedangkan saya tak buat?.” Aku cuba menjawab.
“Tak buat awak kata?. Awak dah ambil duit tu, awak kata awak tak buat?. Awak ada apa-apa hubungan sulit ke dengan Musa?.” Pegawai itu menambah dengan nada agak marah dengan jawapan yangku berikan.
“Saya tak pernah jumpa pun dengan Musa. Saya baru kenal dia dan dia janji nak tolong saya tuan...” Aku cuba mencari helah.
“Macam ni lah…pihak kami akan terus menyoal sampai awak mengaku.” Pegawai itu bingkas bangun dan menutup pintu bilik soal siasat meninggalkan aku sendirian di dalamnya. Lagaknya sangat tidak berpuas hati dengan pengakuanku.

Aku termangu sendirian. Dimanakah suamiku ketika ini?. Masih bermain dibenak fikiranku, mengapa suamiku tidak hadir menemuiku di saat dan ketika aku sedang dalam kesusahan seperti ini?.
“Saya meluluskan permohonan pihak SPRM untuk menahan si dituduh Khatijah bte Ismail selama 4 hari bermula hari ini.” Majistret memberikan arahan. Pegawai SPRM bersetuju dan terus membawaku keluar dari bilik ‘kecil’ Mahkamah itu. Aku ditahan lagi selama 4 hari untuk membantu siasatan mereka.
“Suami awak datang. Sila beri kerjasama untuk tidak menutup pintu bilik ni. Cakap kat dalam ni je. Kami beri awak 20 minit.” Sapa salah seorang pegawai penyiasat. Kelihatan Khalil berdiri tercegat di pintu bilik siasatan ini.


****


“Abang…” Itu saja kata-kata yang terkeluar dari mulut aku dan dengan pantasnya air mata ini mengalir laju. Deraian air mata yang tidak dapat dibendung lagi.
“Apa dah jadi ni you?. I tak faham la….kenapa you kena tangkap?...why.?” Khalil terus-terusan menyoal aku yang sedang dalam tangisan. Dia tidak pun berusaha memujukku yang sedang dalam berduka lara ini.
“Abang…saya dianiaya. Saya ke sana untuk ambil duit family day je. Tak sangka jadi macam ni. Abang…please understand me.” Aku menjawab sambil teresak-esak menahan kesedihan.
But why you...?” Khalil menambah sambil menundukkan wajahnya. Aku tahu dia terkilan dan kecewa setelah apa yang terjadi padaku.
“Abang…saya dah terkena. Ini ujian Allah dan saya redha dan pasrah.” Itu saja jawapan aku tatkala aku masih dalam tangisan kebingungan.
“Kenapa nak pasrah?. Next time kena hati-hati. I tak sangka you sanggup buat perkara terkutuk macam ni. Kita berdua gaji dah cukup bulan-bulan. I mampu sara you and Zara.” Khalil terus berkata seolah dia menyalahkan aku atas apa yang berlaku.
“Abang…believe me, saya tak buat semua tu...” Aku terus terdiam membisu.
“Patutla you sibuk-sibuk nak ganti dapur mak kat kampung…rupanya ada duit lebih.” Khalil bingkas bangun dan berlalu meninggalkan aku kebingungan. Aku menjadi terus bingung dan buntu. Apakah benar apa yang aku saksikan di depan mataku sendiri?. Suami yang amat ku sayangi berlalu pergi meninggalkan aku sendirian begini?.

“Macam ni lah…awak fikir lagi. Saya tunggu sebab sekejap lagi pegawai yang mengambil keterangan akan datang untuk ambil keterangan awak.” Pegawai SPRM itu menyapa aku yang sedang termenung.
“Kejap lagi ke tuan?. Saya nak mohon untuk mandi di sini. Di lokap saya tak boleh nak mandi, bilik air open, saya segan...” Aku merayu.
“Ok, nanti pegawai wanita tolong bawa awak ke toilet.” Pegawai itu menjawab ringkas.

“Cepat sikit mandi. Aku bagi kau 15 minit untuk mandi. Jangan kunci pintu…faham?.” Pegawai wanita itu berkata dalam nada seakan marah. Aku hanya mengangguk tanda setuju dengan arahannya.

Hari itu seharian aku di Putrajaya. Di soal siasat oleh segenap lapisan pegawai penyiasat. Banyak keterangan yang perlu diambil dan diisi. Aku setia dengan pengarahku yang baik dan sangat memahami pekerja bawahannya. Oleh sebab itu, aku juga cuba untuk menutup apa jua yang berlaku di pejabat. Pada aku, biarlah aku saja yang terkena. Jika difikirkan, boleh saja aku uraikan satu persatu apa sebenarnya yang berlaku tetapi aku telah berfikir semalaman di lokap. Jika aku beritahu semua, sudah tentu semua pegawai dan staff di pejabatku akan menerima tempelak yang sama. Aku terfikir akan periuk nasi mereka dimana ada dikalangan mereka isteri tidak bekerja, bagaimana jika mereka dibuang kerja?. Aku cuba meletakkan diriku ditempat mereka!


****


“Bagaimana?. Dah buat keputusan?.” Soal salah seorang pegawai penyiasat.
“Sudah tuan…itulah keputusan saya. Tidak berganjak…” Jawabku ringkas.
“Baiklah…kalau dah macam tu, esok hari terakhir awak ditahan. So…awak kena tunggu sehingga kes ini selesai. Saya akan updated awak apa juga keputusan samada awak akan naik court atapun tidak.” Pegawai itu menambah.
“Baik tuan…” Aku menjawab sambil menundukkan wajah.
Handphone awak kami tahan. Lepas 2 minggu baru boleh on balik simcard awak. Kena pergi ke mana-mana cawangan handphone awak untuk dapatkan simcard baru.” Pegawai itu berkata seraya bangun meninggalkan aku di dalam bilik kecil ini.
“Terima kasih tuan…” Aku menjawab ringkas.


****


Jam sudah menunjukkan pukul 11:30 malam. Aku masih lagi di Putrajaya. Esok adalah hari pembebasanku setelah 4 hari ditahan di sini. Aku masih bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bebas walaupun aku tidak tahu apa yang akan terjadi kepada diriku selepas ini.

Malam ini juga aku tidak dapat melelapkan mata. Aku diganggu oleh seorang wanita Indonesia.
“Kak…kita mau mintak tolong. Esok akak bisa lepas…saya mohon akak bisa telefon suami aku.” Wanita ini merayu padaku.
“Kat mana suami awak?...” Aku menanyakannya.
“Suami aku kat Chow Kit…bisa kan?.” Nadanya pilu merayu padaku.
“Ehmm…tengoklah macam mana nanti.” Aku menjawab sambil mendengus tanda aku tidak berjanji padanya.
“Tolonglah kak…dia tidak tahu aku ditangkap. Sekarang mesti dia sedang cari aku.” Dia menambah sambil airmatanya mengalir.
“Suami awak orang sini ke?.” Aku cuba bertanya.
“Tak kak…suami aku orang Bangladesh. Aku baru nikah 2 bulan lepas.” Jawabnya ringkas.
“Ok…mana nombornya?.” Aku menjawab tanda bersetuju.
Wanita Indonesia itu pantas menulis menggunakan ubat gigi yang dikeringkannya.
“Akak simpan dalam celana ya. Kalau tidak nanti bisa bolos sama cikgu.” Katanya seakan memberi arahan padaku.
“Yelah…” Aku menjawab ringkas.


****


“Khatijah…hari ni awak dilepaskan. Tapi, belum tentu awak selamat. Awak tunggu apa jua keputusan dari pihak kami.” Pegawai penyiasat itu berkata kepadaku.
“Baik tuan...” Ringkas jawapanku. Tidak mahu aku kusutkan keadaan yang sediakala kusut ini.

Khalil datang menjemputku. Kelihatan mukanya masam mencuka. Dia langsung tidak keluar dari kereta, hanya menunggu di dalamnya. Setelah dibebaskan, aku segera ke kereta. Walaupun sedih, aku cuba untuk senyum padanya.
“Abang dah lama sampai ke?.” Aku menyoal Khalil yang sedang tekun membelek telefon bimbitnya.
“Lama jugak…dah dekat sejam.” Khalil menjawab seraya menghidupkan enjine kenderaan.
“Kenapa abang tak tunggu kat dalam tadi?.” Aku menambah.
“Taknaklah…malu I.” Khalil menjawab ringkas. Malu? Aku isterinya, kenapa perlu dia malu?.
“Abang…saya kan isteri abang. Patutnya abang bagi semangat kat saya.” Aku cuba memujuknya.
“Sekarang ni siapa yang buat salah? I ke you?...” Khalil cuba menjawab dalam nada kasar.
“Maafkan saya abang.” Itu saja jawapan aku dan dengan derasnya airmata ini mengalir.
“Senang je you cakap maaf. Satu office cerita pasal you. You ada scandal ke dengan mamat tu?.” Khalil menambah sambil mukanya melihat aku seakan ingin menerkam aku.
“Apa abang cakap ni?.” Aku terus menyoal dan menangis.
“Kita memang jauh. I kat Klang, you kat KL, 3 hari sekali je kita jumpa. Mana I tau kalau you ada pasang mana-mana lelaki.” Khalil cuba mengagak.
“Astafirullah abang. Mengucap abang, dah 3 tahun kita kahwin, mengapa abang still curiga dengan kejujuran saya?.” Aku cuba menerangkan dalam nada sebak. “Cinta saya pada abang tak pernah kurang. Saya sayangkan abang.” Aku terus menangis.
“Sudahlah, biar masa menentukan.” Khalil menjawab sambil matanya menjeling ke arahku.

Ya Allah, kenapa ini yang aku terima?. Aku memerlukan seseorang yang sudi memberi semangat dikala aku sedang diuji oleh Allah. Tetapi, ini yang aku terima. Kami berdua diam seribu bahasa. Hanya lagu berkumandang dicorong radio dan tiba-tiba hati ini berdegup kencang tatkala DJ memutarkan lagu Casey, ‘Jangan ada benci’. Lagu ini mengigatkan aku pada Saiful, lelaki pertama yang pernah jatuh cinta padaku. Saiful pernah memberi aku lirik lagu ini ketika kami sedang hangat bercinta ketika di bangku sekolah menengah. Airmata ini tidak dapat dibendung lagi, aku menangis lagi. Kali ini bukan mengenangkan sikap suamiku tetapi mengenangkan lagu Casey yang memberi seribu satu makna. Saiful telah tiada, dia telah kembali dijemput yang Maha Esa setelah sebulan koma kerana kemalangan jalanraya ketika kami sedang menuntut di tahun dua di Universiti. Aku redha dan pasrah dengan ujian Allah itu. Saiful pergi meninggalkanku ketika cinta kami sedang berputik. Saiful berjanji akan melamarku pada tahun akhir pengajian kami. Saiful berjanji ingin berkahwin denganku pada tahun akhir pengajian kami.

“Tak salah kan kalau kita kahwin masa belajar?.” Lembut nada Saiful padaku.
Mommy abang bagi ke?. Kita belajar pun under Scholar. Macam mana abang nak tampung Kathy nanti?.” Aku menjawab dengan nada manja.
Mommy la dana abang. Sure mommy setuju punya. Bakal menantu dia kan cantik macam pelakon Fazura tu.” Saiful berkata dengan nada lembut.
“Ish abang ni. Malulah Kathy, nanti mommy cakap apa pulak. Kita yang sedap kahwin, dia pulak nak kena tanggung.” Aku membalas sambil menyuapkan bihun goreng ke mulut Saiful.
Mommy yang cakap macam tu la. Lagi pun, dah lama sangat kita bercinta. Dah 6 tahun tau dari form 2 sampai tahun 2 ni ha.” Saiful menjawab sambil mulutnya menguyah bihun goreng yangku suapkan ke mulutnya.
“Tapi Kathy tak bagitau mak dan ayah lagi. Takutlah mak dan ayah tak setuju.” Aku berkata manja sambil membuat muka keliru.
“Ala, baby abang ni, senyum sikit. Itu bisa diatur, nanti abang jumpa mak dan ayah. Abang bagitahu diaorang yang abang nak ambil anak dara kesayangan diaorang ni. Nak jadikan teman abang buat selama-lamanya.” Saiful mengerling ke arahku sambil mengeyitkan matanya. Aku jadi malu dengan sikapnya. Sememangnya Saiful sangat sayang padaku. Tetapi, kemalangan yang telah menimpanya seakan merobek kebahagiaan aku pada ketika itu. Saiful terlibat dengan kemalangan kereta ketika dia baru pulang dari rumah ibu saudaranya di Seremban. Aku pasrah dengan takdir yang menimpa. Hanya Allah yang Maha mengetahui semua yang berlaku. Hampir dua tahun aku cuba untuk memujuk diri ini agar kembali bercinta. Sehinggalah tamat pembelajaranku di universiti, Khalil berjaya membuka pintu hatiku untuk kembali bercinta lagi.

“Dah sampai ni. Taknak turun ke?. I nak balik Klang, ada banyak kerja yang nak disiapkan.” Khalil melulu keluar dari kereta sambil berjalan terus meninggalkan aku di belakang.
“Abang, please la. I need your help. Dalam keadaan saya macam ni, abang macam nak ketepikan saya, kenapa?.” Aku sekali lagi merayu padanya.
“Siapa suruh you ambil rasuah?.” Khalil berkata sambil mencekak pinggang seakan terlalu marah padaku.
“Abang, apa yang abang cakap ni. Abang tak tanya saya lagi apa yang berlaku, abang terus nak hukum saya?.” Aku terduduk kaku, terdiam dengan kata-kata Khalil sebentar tadi.
Look Kathy, I kahwin dengan you dah 3 tahun tau. I dah masak dengan sikap dan perangai you. Kadang-kadang I bosan la.” Khalil menambah dengan kata-kata yang sedikit mencabar emosiku.
“Abang, apa abang cakap ni?.” Aku menambah sambil berdiri mengadap Khalil. Kali ini aku perlu kuat untuk membidas apa jua telahan Khalil.
“Ok, sekarang you tell me kenapa you ambil rasuah dari mamat tu?, why?.” Khalil sekali lagi menyoal.
“Abang, saya tak ambil apa-apa rasuah dari dia. Saya tak buat semua benda terkutuk tu. Abang boleh tanya pada semua contractor yang ada berdaftar di pejabat saya. Tanya mereka, pernah ke saya minta rasuah dari diaorang?.” Aku cuba meninggikan suara tanda aku tak berpuas hati dengan nilaian Khalil terhadap aku.
“Kalau you tak buat, macam mana pulak kena tangkap?.” Khalil terus menyoalku.
“Abang ni kenapa?. Abang tahu tak saya sekarang dalam keadaan tertekan. Macam-macam yang saya fikirkan. Sampai hati abang buat saya macam ni kan?.” Aku menghentikan persoalannya dan terus melulu masuk ke bilik. Aku peluk erat tubuh anakku, Zara.
“Maafkan mama sayang. Mama tak tahu kenapa jadi macam ni.” Aku cuba meluahkan isi hatiku pada anakku walaupun aku tahu, dia tidak mengerti apa-apa. Dalam saat dan ketika ini, aku memerlukan seorang insan yang boleh memberiku semangat. Kenapa Khalil, suami yang amatku sayangi membuat tidak endah terhadapku?. Ya Allah, dugaan apakah ini?. Airmata ini terus menderu laju membasahi kain alas katilku. Tiada tempat lain untukku mengadu, hanya Khalil. Tetapi, ini yang Khalil buat pada aku?. Aku pasrah dengan takdir ini. Jika ini yang terbaik untukku, aku terima segala ketentuanMu ya Allah. Aku tertidur sambil airmata tidak henti mengalir, mengenangkan nasib yang bakal menimpa seterusnya.

****

“Kathy, kau kena buat something. Takkan kau nak diamkan je?. Ni dah seminggu kau tak datang kerja. Kau kena ingat Kathy, kita ni kerja kerajaan.” Shuhada berkata sambil bermain dengan Zara.
“Entahlah Shu, aku peningla. Semalam pengarah aku ada datang. Dia akan cuba tutup kes aku. Janji aku diam dan membisu.” Aku menjawab.
“Aku sebagai kawan sentiasa berada di belakang kau.” Balasnya dengan nada lembut. “Khalil tak balik ke?.” Shuhada menambah.
“Tak. Dah 5 hari tak balik.” Aku membalas ringkas. Aku segan sekiranya Shuhada bertanya lanjut mengenai Khalil.
“Biar betul Khalil ni. Taula sibuk kerja tapi takkan sampai lupa anak bini.” Shuhada mengomel panjang tanda kurang berpuas hati dengan tindakan Khalil.
“Dia malu dengan aku Shu.” Aku menambah.
“Apa yang nak malu?. Dia kan husband kau. Dia kena bagi kau semangat, bukannya ketepikan kau.” Tambahnya dengan nada agak kecewa dengan sikap Khalil.
“Biarlah Shu, maybe dia nak ambil masa untuk terima kenyataan, its ok.” Aku cuba memberikan gambaran positif pada tindakan Khalil.
“Susah juga nak terima kenyataan apa yang dah berlaku. Kita boleh tutup mulut tempayan tapi mulut manusia kita tak boleh tutup.” Aku menambah sambil menghirup kopi yang dibancuh oleh pembantu rumahku.
So, sekarang macam mana?.” Shuhada menambah.
“Aku ingat nak berhenti kerja la Shu.” Aku menjawab spontan.
“Ya Allah, kalau kau berhenti kerja, macam mana kau nak teruskan hidup lepas ni?.” Shuhada menjawab dengan nada sedikit keras.
“La, rezeki kan Allah yang bagi.” Aku terus menjawab sambil tersenyum.
“Aku tau la tapi susah juga tu tapi… entahlah. Terpulanglah pada kau. Apa yang penting, kau fikir dulu baik-baik, buat solat hajat, isytikarah semua.” Shuhada cuba memberi pendapatnya bagi menenangkan perasaan aku.
Thanks Shu. Dalam keadaan aku macam ni, kau still sudi kawan dengan aku.” Jawabku ringkas sambil mengenggam erat tangan sahabatku. Kami memang sudah menjadi kawan baik semenjak hari pertama pendaftaranku di universiti.
“Takde apalah…Biasalah, hidup ni kalau tak kena uji, maknanya Allah tak sayang kita. Macam aku, tengok sampai sekarang tak kahwin lagi.” Shuhada cuba melarikan perhatianku.
“Tapi ujian aku lain Shu, berat sungguh untuk aku pikul. Dengan Khalil lagi macam ni, aku…” Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, Shuhada memelukku dengan erat.
“Kathy, apa jua ujian yang Allah beri semuanya mampu ditanggung oleh hambaNya. Allah takkan beri ujian yang kita sendiri tak boleh nak pikul. Percaya pada kuasa Allah dan redha dengan apa jua yang berlaku. Aku kawan kau dunia dan akhirat.” Bisik Shuhada padaku dengan nada sebak. Kami berpelukan sambil sama-sama menitiskan airmata. Sesungguhnya ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan seorang sahabat yang banyak membantu dikala aku senang mahupun susah.

****

Hari ini aku berusaha juga melangkahkan kaki untuk ke pejabat setelah sebulan tidak bekerja. Aku terpaksa menebalkan muka setelah apa yang berlaku pada diriku. Aku terpaksa juga bekerja kerana aku adalah kakitangan kerajaan. Mana mungkin boleh membiarkan saja tidak bekerja sedangkan gaji aku terima setiap bulan. Begitulah jika menjadi pegawai kerajaan, bukan senang nak berhenti dengan serta merta, perlu melalui proses yang pelbagai.

“Puan, tempat puan dah digantikan dengan tuan Firdaus.” Kirana, kerani di pejabatku memulakan perbualan setalah dilihatnya aku kelihatan sugul di pintu pejabat.
“Saya tahu Ana, takpe, saya datang nak berjumpa pengarah.” Aku menjawab dengan nada perlahan.

“Kathy, sila masuk.” Suara Encik Hanafiah membentak lamunanku.
“Tuan, apa status saya sekarang?.” Aku terus menyoalnya sambil berdiri dihadapan mejanya.
“Sila duduk Kathy. Sabar, kita bincang dulu.” Encik Hanfiah menambah sambil mempersilakan aku untuk duduk di sofa empuknya.
“Tuan, haritu tuan datang rumah saya kata nak selesaikan kes saya.” Aku terus cuba memaksanya untuk memberi jawapan yang pasti.
“Ok, Kathy, sebenarnya saya tak boleh nak buat apa-apa. Ini semua diluar kemampuan saya. Pihak SPRM telus dalam menjalankan siasatan.” Encik Hanafiah menambah.
“Tuan, saya dah buat kenyataan yang saya pinjam duit dia. Kalau saya batalkan kenyataan, saya akan dituduh buat kenyataan palsu.” Aku berkata dengan nada sedikit keras.
“Kathy, kita kena win-win situation. Dalam hal ni umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tak berselerak.” Tambahnya lagi.
“Apa maksud tuan?.” Soalku ringkas.
I mean macam ni… You berhenti kerja, saya akan uruskan semua ganjaran sepanjang you service and you boleh bayar denda dari SPRM dengan duit ganjaran tu.” Encik Hanafiah berkata seolah tidak bersalah dengan tindakannya.
“Sekarang ni you dah tak boleh buat apa-apa. You pegawai kerajaan, tak boleh buat silap. So, you have to decide now.” Tambahnya lagi.
“Tapi, saya tak bersalah tuan. Saya ambil duit tu atas arahan tuan.” Aku cuba lagi memperbetulkan keadaan.
“Bila masa pulak saya suruh ambil.” Encik Hanafiah cuba berdalih.
“Apa tuan cakap ni?. Tuan lupa ke tuan yang suruh saya ambil dari Musa. Saya yang bodoh ni pergi dengan tak tahu apa-apa. Tuan tengok apa yang dah jadi pada saya sekarang?.” Aku bercakap dengan nada tinggi kerana cuba menahan kemarahanku atas tindakan Encik Hanafiah yang cuba berdalih.
“Kathy, saya tak suka awak cakap dengan nada tinggi macam ni. Awak pegawai bawahan saya, macam ni cara awak bercakap?.” Encik Hanafiah cuba lagi berdalih dengan menggunakan kuasanya.
“Tuan, saya selama ni puji dengan sikap tuan yang ikhlas dan baik. Tapi, kalau macam ni tuan buat pada saya setelah saya cuba cover tuan, baiklah. Saya mohon diberhentikan mulai hari ini.” Kata-kataku yang terakhir sambil bingkas bangun meninggalkan beliau terpinga-pinga. Selama ini aku memang terkenal dengan sikap tegas dalam menjalankan tugasanku tetapi masih menghormai orang atasanku. Tetapi, kejadian sebentar tadi begitu merobek perasaanku. Pegawai atasanku yang selama ini aku sanjung dan aku puji, membuat onar terhadapku. Aku berlari pantas pulang ke rumah sambil mata ini berkaca. Aku tidak perlu menangis dibangunan ini, aku perlu menangis di rumah. Mengapa perlu aku menangis di bangunan tempat aku mencari rezeki?. Ya Allah, bantulah untuk hambaMu ini terus berdiri dengan kukuh di atas bumiMu.

****

“Bibik, masak apa tu?. Tuan Khalil ada balik ke hari ni?.” Soalku pada pembantu rumahku setelah seharian aku tertidur di bilik.
“Ada pagi tadi puan. Dia langsung balik lepas tengok Zara. Dia kata banyak urusan di kantor. Bibik masak sayur keladi hari ni puan” Pembantuku menerangkan dengan panjang lebar. “Tadi bibik mahu bilang sama puan tapi puan terus masuk bilik.” Tambahnya lagi.
“Takpelah bibik. Saya nak makanlah, tolong panaskan lauk eh.” Aku mematikan perbualan mengenai Khalil sambil berjalan mendapatkan anakku yang sedang baring di ruang tamu.

“Hello, abang, kenapa abang lama tak call saya. Balik rumah pun tak jumpa saya. Dah sebulan abang buat saya macam ni.” Aku cuba berkata-kata walaupun hanya di dalam talian.
I busy la. Ada dua projek nak kena handle. I hari-hari balik kerja sampai lewat malam.” Khalil menjawab dengan nada sedikit lembut dari biasa.
“Sebelum ni abang tak macam ni. Busy macam mana pun abang tetap balik tengok saya dan Zara.” Aku menambah.
I ada balik tapi you takde kat rumah. I balik pun sebab ada kerja kat KL.” Khalil membalas.
“Abang ada balik pagi tadi kan?. Bibik ada cakap dengan saya.” Soalku.
“Ada. Malaslah nak cakap. Nanti apa-apa hal whatsapp jela. Okla, I ada kerja nak siapkan.” Khalil menghentikan talian tanpa aku sempat berkata apa-apa. Sebenarnya, aku ingin memberitahunya tentang status kerjaku sekarang. Aku telah berhenti kerja, dan perkara ini Khalil perlu tahu. Aku cuba untuk pujuk hati dengan perasaan yang Khalil sekarang mungkin dalam keadaan tertekan setelah apa yang terjadi padaku. Aku perlu beri dia masa untuk berfikir sejauh mana kebenarannya. Hati ini hanya mampu berdoa.

****

“Kathy, you resign ke?.” Soal Shuhada ketika kami sedang makan malam bersama.
“Aah…” Jawabku ringkas.
But, why?.” Shuhada menambah soalannya padaku.
“Kalau aku tak decide resign, banyak benda yang akan berlaku.” Aku menjawab dengan nada sedikit kesal.
What do you mean banyak benda yang akan berlaku?.” Shuhada terus menyoalku.
“Yelah, aku kena berhenti untuk dapatkan sedikit pampasan. Kalau kes aku masuk court, at least aku ada duit nak bayar.” Aku cuba memberi jawapan yang ringkas.
“Eh…kau nak menyerah macam tu je ke?...Kau kena fight beb.” Shuhada cuba memberikan pendapatnya dengan ikhlas.
“Banyak benda yang aku fikirkan kalau aku fight. Nak bayar duit lawyer lagi. Kau ingat naik turun mahkamah senang ke?.” Aku menjawab dengan nada tidak puas hati.
No, I mean kau kena betulkan keadaan. Kau tak bersalah beb…” Tempelak Shuhada.
“Shu, kadang-kadang kita kena jadi orang yang bersalah dalam keadaan yang tidak bersalah. Macam dalam perang, kita seorang ketua, takkan kita nak biarkan semua bala tentera kita terbunuh sedangkan kita hidup?. Baik seorang saja yang mati dari ramai yang mati. Mana tahu, kalau kita suruh semua bala tentera kita mati, ramai pulak yang akan jadi balu.” Aku cuba memberikan gambaran akan keputusan yang telah aku buat.
“Terpulanglah pada kau Kathy. Aku dah beri pendapat aku, selebihnya terpulang pada kebijaksanaan kau untuk buat keputusan.” Pujuk Shuhada padaku.
Thanks sebab kau je yang faham aku. Aku tak kisah orang nak cakap apa. Aku tak boleh tutup semua mulut orang kan?.” Jawabku dengan nada sedikit sebak atas ketelusan sahabatku terhadap diriku.
“Ni nombor telefon lawyer kawan aku yang aku cakap dengan kau haritu. Nama dia Iskandar. Dia ni kawan sekolah aku dulu. Hebat jugak mamat ni. Dahlah handsome tak kahwin lagi.” Shuhada berkata sambil menghulurkan business card milik kawannya, Iskandar.
“Eh, apa lagi. Try la mamat ni Shu. Manalah tau, dia jodoh kau.” Aku menambah dalam nada ketawa.
“Dia mana pandang aku. Anak orang kaya dia ni. Arwah bapa dia pernah jadi businessman berjaya kat KL ni. Belajar pun kat King College London.” Shuhada menambah sambil bibirnya mencebik.
“Okey, nanti aku call dia. Nak tanya dia boleh tolong aku tak?.” Balasku sambil menyuap mee goreng mamak dimulut.
“Aku dah bagitau dia. Dia okey je dan dia nak kau datang pejabat dia kat Bangsar.” Shuhada menambah sambil tersenyum.

****

Harini aku perlu kemas semua barang-barang di rumah kerana aku perlu mengosongkan rumah milik kerajaan ini. Aku sudah berhenti kerja dan semestinya aku perlu keluar dari rumah yang bukan milik aku. Khalil balik ke rumah kami setelah dinasihatkan oleh sahabat baiknya, Fendi. Khalil nampak berubah setelah diberi nasihat oleh Fendi. Aku sangat bersyukur dengan sikap barunya yang pada hemahku telah berubah. Kami sama-sama mengemaskan semua barang-barang yang akan dibawa pindah.

“Rumah sewa tu berapa sebulan abang?.” Soalku ketika Khalil sedang sibuk memasukkan buku di dalam kotak.
“700ringgit je. Rumah teres biasa, dua tingkat. Dekat sikit dengan tempat kerja abang.” Khalil menjawab sambil sibuk terbongkok menyusun buku.
“Mahal jugak tu. Saya dah tak kerja. Boleh ke kita nak bayar sewa tu. Bibik pun dah lari.” Aku cuba meneka tindakannya.
“Kalau abang dah sediakan tu…terima je la. Mahal ke murah ke…belakang cerita, janji abang dah usaha dapatkan rumah untuk sayang dan Zara.” Tinggi sedikit nada Khalil waktu menjawab.
Sorry abang. Saya just tanya je. Maybe lepas ni saya boleh try cari kerja area Klang.” Aku cuba memberi pendapat.
“Tak perlulah… Biar abang kerja sorang je. Sayang duduk rumah jaga Zara.” Khalil membidas pendapatku.
“Saya takut saya menyusahkan abang je…Yelah, selama ni…” Belum sempat aku menjawab, Khalil bingkas bangun dan berdiri dihadapanku. Matanya besar seperti marah pada ayatku sebentar tadi.
You nak cakap apa?... Tak puas hati dengan nafkah yang I bagi?.” Soal Khalil dengan nada marah.
“Bukan macam tu, saya…” Tidak sempat aku meneruskan kata-kata..
Panggg…

Khalil menamparku tanpa belas kasihan. Selama ini Khalil tidak pernah melakukan sedemikian terhadapku. Bahasanya baik dan bait-bait katanya romantis terhadapku. Kali ini, aku terdiam kaku setelah tangan kanannya yang kasar menampar pipiku yang lembut. Zara menangis setelah mendengar aku menangis. Aku berlari mendapatkan anakku dan terus melulu masuk ke dalam bilik. Aku menangis semahu-mahunya. Ayahku sendiri belum pernah menamparku inikan pula suami ku yang baru ku kenali setelah kami bercinta hanya 5 bulan dan mengambil keputusan untuk bernikah. Setelah 3 tahun kami berkahwin, Khalil berani menamparku. Apa salah aku padanya?. Semua nafkah zahir dan batin aku tunaikan biar dalam keadaan apa sekalipun. Khalil tidak mengetikah pengorbananku?. Fahamilah aku Khalil.

No comments:

Post a Comment